Salam buat semua,
Alhamdullillah kita dapat bertemu kembali dalam artikel kali ini. Ia sebenarnya bersambung dari kisah pendekar yang telah diutarakan dahulu mengenai hati yang terbuka. Seorang pujangga pernah berkata ;
• Orang yang pandai adalah orang yang bercerita tentang idea,
• Orang yang kurang pandai adalah orang bercerita tentang hal ehwal semasa dan
• Orang yang bodoh adalah orang yang bercerita tentang orang lain.
Jadi kita tergolong dalam golongan yang mana satu? Apakah nilai yang ada dalam perihal pemikiran ini yang boleh dijadikan prinsip pegangan diri? Di sini saya bahagikannya kepada tiga ;
• Pemikiran sempit
• Pemikiran tertutup
• Pemikiran terbuka.
Sebenarnya kalau difikirkan ramai yang tidak pernah ditanya akan perihal ini apatah lagi sedar akan apakah sistem pemikiran yang ada dalam diri. Ia terbentuk secara spontan dalam diri tanpa kita sendiri sedari.
Pemikiran sempit ialah bila sesuatu ilmu pengetahuan itu hanya dibuka kepada orang yang tertentu atau kroni sahaja. Contohnya kita memilih orang-orang yang tertentu sebelum kita mahu mendengar apa yang hendak mereka katakan. Kita menilai penyampai di hadapan kita berdasarkan kelayakan, pangkat, kedudukan, umur, kedaerahan, kaum, ugama dan sebagainya. Kisah yang ada adalah mengenai perihal orang lain tanpa isi yang jitu.
Pemikiran tertutup pula ialah bila kita merasakan diri serba sempurna dan lengkap dengan penerapan yang ada lantas kita menutup segala ruang untuk belajar. Semua perkara dan peristiwa yang berlaku di hadapan mata akan kita komen seakan kitalah yang paling sempurna. Kita banyak menggunakan mulut bercakap tetapi kita tak menggunakan telinga untuk mendengar. Kita mahu orang lain memahami keadaan kita tetapi kita tak mahu memahami keadaan orang lain.
Dalam hal pemikiran ini kita sebenarnya tak ada pilihan melainkan untuk membuka hati, telinga dan minda untuk menerima ilmu dari orang lain. Jadi seperti perigi. Ini kerana dalam kehidupan yang pendek itu kita sebenarnya tak akan dapat mencakup semua pengalaman hidup, semua dugaan dan semua ilmu yang ada.
Oleh yang demikian, cara yang terbaik ialah untuk mempelajarinya dari orang lain. Setiap insan punya set pengalaman dan dugaan yang berbeza, setiap insan punya kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri yang kita boleh ambil dengan bertanya serta membuka minda untuk mendengar. Biarpun orang itu musuh sekalipun kerana mereka juga sebenarnya aset bagi kita yang mana ilmunya boleh kita ambil dan pelajari.Mereka yang berada dalam tamadun yang maju telah mengetahui akan perihal ini jadi mereka sentiasa terbuka bebas untuk menerima mana-mana pengisian yang mendatang hinggakan mereka membuat filem, rencana dan dokumentari berkenaan budaya setempat dimana-mana sahaja di dunia ini. Mereka mencari ilmu di mana sahaja dari laut dalam hingga ke bintang kejora.
Kalau difikirkan setiap manusia atau apa juga media yang bertamu di sepanjang kehidupan kita sebenarnya merupakan perantara Allah untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada kita. Cuba anda bayangkan akan analogi ini, apabila datang seorang posmen yang menghantar surat ke rumah anda maka adakah anda menghalaunya? Adakah dan menolak surat yang ingin di hantarnya? Adakah anda menilai pakaiannya, cara dia berjalan dan sebagainya? Saya yakin pastinya tidak. Posmen itu hanyalah perantara yang menghantar surat. Di sini bukankah apa yang penting ialah kandungan surat yang hendak disampaikan?
Dalam hal ini saya cukup yakin yang semua bersetuju dengan saya tetapi apa pula yang terjadi sekiranya datang para pendakwah tabligh datang bertamu di rumah anda? Bukankah apa yang penting ialah isi kandungan yang ingin mereka sampaikan? Kenapa kita perlu menghalau mereka yang pada hakikatnya ingin membawa cahaya ke dalam diri anda? Saya pasti mereka tidak datang untuk membawa kegelapan. Begitu juga perihalnya tentang e-mel yang datang dalam inbox anda. Cuba buka minda dan baca isi kandungannya, saya yakin pasti ada ilmu di dalamnya untuk anda. Yang buruk kita buang dan yang baik kita ambil. Tak kiralah siapa atau apa sahaja yang datang dalam hidup anda, saya yakin pasti mereka datang dengan pelajaran yang tertentu yang boleh kita pelajari.
Untuk mengetahui kedudukan pemikiran kita. mari buat satu alat untuk mengukurnya.
Pemikiran anda tertutup sekiranya ;
• Anda hanya mahu menyampai tetapi tidak mahu menerima pengisian.
• Anda tak mahu membaca topik ini kerana merasakan penyampainya berlagak pandai .
Pemikiran anda sempit sekiranya ;
• Anda punya kawan hanya dalam kelompok kecil dan tertutup.
• Anda hanya memilih topik yang tertentu sahaja untuk dibicarakan atau diterima.
Pemikiran anda terbuka bila ;
• Anda punya kawan dalam semua peringkat masyarakat.
• Anda cuba memahami sebelum difahami.
• Anda boleh berbicara dan menerima semua topik perbincangan tanpa masalah.
Oleh itu dengan mengetahui perkara ini, sebagai kesimpulannya jadikanlah sistem pemikiran terbuka ini sebagai sistem pegangan diri anda kerana saya yakin ia akan meluaskan minda dan pandangan anda mengenai kehidupan secara keseluruhannya. Keadaan ini seterusnya akan membolehkan anda membuat timbang tara yang jitu dalam menangani satu-satu persoalan dalam kehidupan.
Fikir-fikirkanlah..Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami.