Monday, April 9, 2012

Reda kepada Allah Taala



 

FY sering mengisahkan tentang pengisian-pengisian agar kita memasukkan dan menerapkan sifat-sifat baik atau sifat-sifat mahmudah sepertimana yang dimiliki oleh Rasulullah SAW serta sahabat-sahabat baginda ke dalam hati. Sifat seperti Redha, Menghargai, Mensyukuri, Pemurah dan sebagainya. Contohnya dalam artikel bertajuk kematian yang lepas FY ada menekankan kepada sifat redha. Salah satu sifat utama yang perlu ada dalam diri kita sebagai manusia makhluk Allah Taala.

Sekali lagi FY ulangi sifat redha ini adalah salah satu sifat utama dalam aspek keimanan kerana ia termasuk dalam rukun Iman. Ini kerana salah saru rukun Iman ialah untuk kita percaya dengan penuh yakin kepada Qada dan Qadar. Percaya kepada takdir Allah. Percaya ada hikmah apa juga susunan kejadian dan peristiwa yang berlaku itu adalah atas ketentuan Allah Taala.

Bila kita punya sifat redha ini maka kita akan mendapat ketenangan, mengelakkan kekecewaan, kemarahan dan sebagainya. Ini kerana kita meletakkan segalanya kepada Allah Taala akan ketentuannya dan bukan meletakkan ketentuan dalam tangan manusia.

Tanpa sifat redha di hati kita akan marah pada hari hujan kerana kita nak cepat ke tempat kerja, kita akan marah kerana jalan jem, kita akan kecewa bila orang memungkiri janji, kita akan bengang bila orang tak bayar hutang, kata akan tak puas hati bila terpaksa menunggu lama, kita geram kerana keadaan panas, kita tak puas hati kerana servis lambat dan sebagainya. Mungkin dalam aspek yang boleh ditambahbaikan mungkin kita boleh menegur dengan hikmah contohnya dalam hal servis yang lambat, namun demikian takkanlah kita nak marah kepada hari hujan kerana bukan ada apa yang kita boleh buatpun kerana itu sudah pasti kehendak Allah Taala yang terkeluar dari kuasa manusia. Kalau bolehpun bolehlah kita berusaha mencari bomoh hujan untuk mengalihkan hujan itu ke tempat lain.

Jadi persoalannya apakah yang boleh kita lakukan kalau kita tak punya sifat redha ini?

Menangis hingga keluar biji mata kerana kekasih tercinta meninggalkan kita atau disebabkan kematian seseorang yang kita sayangi? Bunuh diri kerana kita gagal peperiksaan atau kecewa disebabkan penceraian? Tak puas hati dan ingin membalas dendam kerana kita dikutuk dan dihina?

Sabarlah. Redhalah. Semua ini susunan Allah dan pastinya ada hikmah disebalik semua itu dan dari kajian FY selalunya ia berlaku atas kesalahan kita sendiri ia berlaku kerana Allah membalas kesalahan yang kita sendiri buat. Ia selalunya berbentuk KIFFARAH yang mana ia menebus dosa-dosa yang lalu jadi janganlah bersedih dan bermuram durja. Kita yang tidak menghormati suami hingga menyebabkan penceraian. Kita yang tak belajar hingga menyebabkan kita gagal dalam peperiksaan, kita yang suka mengutuk dan menghina orang lain di masa muda hingga kita pula yang dikutuk dan dihina dikala tua dan sebagainya.

Sabarlah. Redhalah. Kerana ini semua susunan Allah Taala. Ia hanya satu dugaan untuk meningkatkan keimanan kita kepadaNya.  

Disebalik pengisian FY dalam hal yang positif iaitu untuk menerapkan nilai mahmudah dalam hati pada masa yang sama nilai sifat mazmumah atau sifat negatif yang buruk perlu dikeluarkan dan dihumban jauh. Sifat riak, takbur, hasad dengki, mengadu domba, fitnah, penipu, tamak haloba dan sebagainya ini sebenarnya membawa kerosakan bukan hanya kepada diri malah kepada keluarga, masyarakat dan seterusnya kalau kita seorang pemimpin maka ia akan berlarutan kepada nusa bangsa dan negara.

Di sini FY petik sifat riak sebagai contoh untuk kita sama-sama ambil iktibar.


Sifat riak adalah salah satu daripada sifat mazmumah yang perlu kita jauhi. Pengertian riak ialah melakukan sesuatu amalan dengan tujuan menunjuk-nunjuk.

Seperti firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 264 yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman janganlah engkau rosakkan pahala amalan sedekah kamu dengan perkataan mengungkit-ungkit dan kelakuan yang menyakiti. Sesungguhnya orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Antara ciri-ciri sifat riak ialah :
·         Suka menyebut kejayaan dirinya
·         Suka menyebut kekayaan diri dan keturunannya
·         Suka menunjuk nunjuk amalan yang dilakukan
·         Suka mengungkit sedekah dan pemberian kepada orang lain

Keburukan sifat riak :
·         Dibenci oleh ALLAH dan RASULnya
·         Dibenci oleh ibubapa, rakan dan masyarakat

Amalan yang dilakukan kelak menjadi sia-sia dan ditolak oleh Allah Taala.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,
                    
Faizal Yusup

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda, sharekan atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

Melayu Yang Malas



Oleh sebab kita dilahirkan kosong dari sebarang input, maka input yang baru yang belum kita ketahui amat penting bagi tujuan memperkembangkan minda. Sepanjang hidup kita bakal bertemu dengan insan lain. Persoalannya adalah kita akan dapat meningkatkan pengetahuan dari insan ini atau sebaliknya adakah kita yang bakal mengeluarkan input.

Sekali lagi ditekankan semasa kita dilahirkan kita tak punya pengetahuan mengenai sebarang perkara. Sebagai contoh kalau kita mahu menjadi seorang penari maka kita perlulah belajar menari. Pengetahuan mahupun kemahiran bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi kerana kalaupun kita mempunyai ibu seorang penari tak semestinya kita akan automatik boleh menari, kalau bapa kita seorang doktor tak semestinya kita akan menjadi seorang doktor dan begitulah seterusnya.

Mungkin ia menjadi lebih mudah untuk menjadi seorang penari kalau dibandingkan dengan orang lain kerana semenjak kecil kita telah terdedah atau telah nampak ibu kita menari atau mungkin mereka boleh mengajar kita bagaimana untuk menari.

Dalam hal ini orang melayu telah diketahui ketinggalan dalam bidang perniagaan. Ini kerana semenjak dahulu sebelum merdeka, pihak penjajah telah mengasingkan kaum Melayu di kampung-kampung, kaum Cina di pekan dan kaum India di ladang. Pada masa itu ekonomi negara dipegang oleh penjajah dan kemudiannya diganti oleh kaum Cina bila British meninggalkan negara ini. Pada masa itu kaum Cina telah membuka Bank dan orang melayu pula mengatakan yang ia merupakan satu institusi riba. Pada masa yang sama, kaum Cina telahpun menguasai perniagaan-perniagaan di negara ini. Sehingga kini kaum Cina telahpun mengumpul modal yang besar melalui bidang perniagaan ini. Mereka memiliki syarikat-syarikat yang besar dan kecil dan pada masa yang sama mereka juga menguasai boleh dikatakan semua peringkat perniagaan dalam kebanyakan sektor ekonomi.

Dewasa ini mereka memiliki modal yang besar kalau dibandingkan dengan orang kita dan secara tak langsung mereka juga memiliki pengetahuan perniagaan yang diturunkan dari generasi ke generasi. Inilah kelebihan yang ada pada mereka. Kalau difikirkan sedalam-dalamnya saya cukup yakin yang bayi Cina yang baru lahir juga tak punya apa-apa input tetapi ibubapa mereka menitikberatkan pada pendedahan dan input yang jauh berbeza kalau dibandingkan dengan orang kita.

Beginilah perbandingannya lebih kurang ;


MELAYU
Penerapan nilai pelajaran
Penerapan nilai akademik
Penerapan nilai penggajian
Pendedahan nilai pekerjaan

CINA
Penerapan nilai pelajaran
Penerapan nilai teknikal
Penerapan nilai perniagaan
Pendedahan kepada perniagaan

Setelah pelbagai kempen dijalankan pihak kerajaan semenjak dahulu disertakan dengan kelulusan akta undang-undang yang mewajibkan anak-anak bersekolah di negara ini maka kebanyakan ibubapa dewasa ini telah faham akan peripentingnya pelajaran kepada seseorang kanak-kanak itu namun begitu masih ada segelintir yang tidak mengutamakannya. Penerapan kepentingan nilai pelajaran ini tak jauh bezanya dengan bangsa Cina. Cuma apa yang membezakannya ialah bangsa Cina sanggup bergolok bergadai untuk menyediakan pembiayaan bagi anak-anak mereka namun orang kita masih lagi bergantung kepada kerajaan untuk perkara yang sama. Dalam lain perkataan kepercayaan mereka lebih dalam kalau dibandingkan dengan kita dan oleh sebab itulah mereka sanggup bergadai demi untuk memastikan anak mereka mendapat pelajaran di peringkat yang tertinggi.

Dalam pada kita sibuk dengan penerapan nilai akademik iaitu dengan menggalakkan anak-anak belajar ke peringkat yang tertinggi sama seperti bangsa Cina namun mereka bergerak ke hadapan selangkah lagi dengan mementingkan kepada nilai teknikal. Kebanyakan anak melayu yang berjaya masuk universiti berharap mereka akan mendapat kerja di pejabat yang berhawa dingin. Anak-anak Bangsa Cina pula lebih diterapkan dengan nilai-nilai teknikal. Iaitu mereka digalakkan melakukan kerja-kerja seperti menjadi plumber, pakar elektrik dan elektronik, mekanik, jurutera, pakar komputer dan pelbagai lagi. Ini kerana mereka tahu yang dimasa yang akan datang pekerjaan inilah yang bakal memberikan pulangan yang baik sepertimana yang terjadi di negara-negara maju. Di negara maju, bayaran untuk memanggil seorang jurupaip ke rumah untuk membaiki paip yang bocor sangat tinggi. Sekarangpun kita dapat lihat yang semua bidang pekerjaan ini dipelopori oleh bangsa Cina baik untuk memasang penghawa dingin, membaiki paip dan alat elektrik di rumah, kereta dan pelbagai lagi.

Disebabkan oleh semua elemen tadi maka secara tak langsung nilai penggajian merupakan nilai yang dipegang oleh orang kita sedangkan nilai perniagaan pula dipelopori oleh banga Cina.