Monday, July 9, 2012

Program Motivasi Pasangan Bahagia / Kerukunan Rumah Tangga



Assalamualaikum dan salam ceria,

Sebenarnya blog FY ini dahulu dipenuhi dengan pengisian motivasi dan kaunseling cuma sejak kebelakangan ini ia bertukar kepada pengisian pelaburan saham. Apapun ini bukan bermakna FY takkan menulis mengenai motivasi. InsyaAllah kepada peminat penulisan motivasi FY, Sesekali bila berkesempatan FY akan menulis mengenai pengisian motivasi bila punya kesempatan untuk berbuat demikian.

Sebenarnya selama 3 hari minggu lepas FY dijemput menyampaikan program motivasi persiapan pelajar-pelajar yang akan menyambung pelajaran mereka dalam bidang kedoktoran di Mesir. Mereka akan berlepas September ini. Pada pemerhatian FY mereka ini mempunyai hati yang bersih lagi terang dan atas sebab itulah Allah Taala memilih mereka untuk ke tanah suci itu. Dapat bertemu dengan mereka dalam satu program begitu sebenarnya merupakan satu privilege bagi FY. Sesungguhnya FY amat bersyukur dan berdoa semoga anak-anak FY juga dikurniakan dengan hati serta akhlak yang sedemikian rupa.

Objektif program ini ialah untuk menjadikan mereka umpama “ikan di laut, yang tak masin walaupun laut itu masin”. Ia bermakna para pelajar ini takkan terpengaruh dengan keadaan persekitaran, tidak lari objektif pembelajarannya, tidak terganggu dengan apa juga permasalahan juga dapat menangan dan mengatasi sebarang masalah yang dihadapi baik masalah itu diduga mahupun tidak.


Setelah 3 hari menyampaikan pengisian pengenalan diri, pengisian kesedaran fungsi diri, perihal niat dan pengorbanan, perihal perkakas diri dan keupayaannya, pengisian penerapan nilai pembentukan diri serta pengisian akhirat ia membawa kepada satu program yang berjaya. Berjaya membawa mereka kepada kefahaman dan InsyaAllah ia berbekas di hati mereka dan anggaplah ia umpama buah tangan dari FY kepada adik-adik yang bakal ke Mesir itu. Harapan FY ia tak terhenti setakat itu, harap ia kekal di hati mereka, memperkukuhkan jiwa mereka dalam menjalani kehidupan yang penuh berliku ini hingga ke hari mereka meninggalkan dunia ini. InsyaAllah.

Testimoni yang FY dengar dari muut setiap peserta di penghujung program itu membuat hati FY syahdu dan hiba. Malah anda di antara mereka yang sebak menangis di penghujung program itu. Program yang sepatutnya berakhir pada jam 10:30 berlanjutan hingga jam 12:40 pagi kerana para pelajar itu seakan tidak mahu pulang. Betapa FY bersyukur dikurniakan ilmu pengetahuan yang sedemikian rupa untuk dikongsikan kepada siapapun juga yang dijodohkan dengan FY.



Apa yang FY boleh katakan, semua ilmu pengetahuan ini datang dalam bentuk yang tidak teratur sepanjang kehidupan FY. Ia datang secara rawak dan datang dari pelbagai sudut dan cara. Apapun mungkin sebagai penulis semua yang datang bersepah ini dapat disusunatur manjadi satu modul motivasi pembangunan insan yang baik dalam system otak FY. Terus terang pada pandangan FY ia bukan ilmu lambakan yang selalu anda dengar di luar sana. Kalau tak percaya panggil FY untuk menyampaikan program ini. InsyaAllah nanti anda akan faham apa yang FY maksudkan. Apapun ia semua hak Allah Taala dan FY cumalah perantaranya yang menjalankan tugas untuk menyampaikan. FY yakin mereka yang telah mendengarnya dan faham akan pengisiannya akan menjadi orang yang tenang jauh dari stress, kebosanan, kesunyian, dapat mempertingkatkan amalan, dapat mengenali diri dan sebagainya.

Dan kalau semua orang Islam dalam negara ini tahu dan dapat mengamalkan pengisian ini maka kita akan menjadi umat yang sangat kuat!

Apapun, terima kasih kerana sudi membaca. Seperti biasa sesungguhnya yang baik itu dari Allah Taala yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu.

Sekian dulu.

FY



Tuesday, April 24, 2012

Penyakit Imsomnia



Perihal Insomnia / Masalah Tidur

Kebelakangan ini saya bertemu dengan ramai di sekeliling saya yang menghadapi masalah kesukaran untuk tidur. Lalu saya memulakan usaha untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi mengatasi masalah ini. 
Saya mengambil keputusan untuk membuat sedikit kajian.

Bila diwawancara, mereka mengatakan yang hati rasa risau yang teramat sangat, gelisah, seram sejuk, jantung berdegup laju emosi terganggu  dan sebagainya. Pada tahap yang pertama setiap kali mereka mahu tidur mereka bertemu dengan gangguan yang menakutkan. Mereka terasa seperti diganggu hantu dan jin mahupun makhluk yang hodoh, kemalangan di langgar lori, dipukul dan dihentak, disergah, dihimpit, dikejar binatang buas, mahu dibunuh dan sebagainya. Ini menyebabkan mereka terkejut lantas terjaga dan takut untuk tidur semula.

Kemudian ada pula yang ingin tidur kemudian dipenatkan serta dibosankan dengan pelbagai gambaran dan cara. Dibawa ke sana ke mari, bertemu dengan orang yang sudah mati, bertemu dangan orang yang membebel tak henti-henti dan sebagainya. Bergolek-golek di atas katil namun masih tak dapat tidur. Pada masa ini sedikit bunyipun sudah cukup untuk mengganggu mereka yang sedang cuba tidur ini.

Seterusnya ada juga mereka yang tak ada sebarang gangguan sebegini tapi hanya tak dapat tidur memikirkan perkara yang ditakuti akan terjadi pada keesokan harinya. Dimarahi boss, suami, kerja yang tak siap, rahsia yang terbongkar, pasaran saham yang jatuh dengan teruknya, masalah hutang, masalah kekecewaan, kehilangan sumber kewangan dan sebagainya.

Dan remedi yang terbaik yang selalu disarankan ialah...

Ubat tidur.

Jadi dapatlah tidur sejam dua semalaman bagi merehatkan minda yang bercelaru. Dalam fasa ini selalunya keadaan fizikal, mental dan rohani berada dalam keadaan yang lemah. Otak dapat dapat berfikir dengan betul serta rasional, emosi tertekan dan sebagainya. Sarang tebuan jangan diusik. Naya nanti. Cubalah fahami keadaan mereka ini. Mereka sebenarnya sedang sakit.

Jangan main-main, mereka yang tak melalui keadaan ini tak akan faham. Cukuplah Allah tarik balik nikmat tidur dari dalam kehidupan. Ia merupakan satu dugaan yang sukar dan menyebabkan penghidapnya hidup menderita. Kata mereka lebih baik diduga dengan kemalangan dan kesakitan yang berat dari diduga dengan hilangnya nikmat tidur ini.

Kemudian saya mendapati kebanyakan mereka mempunyai masalah tekanan baik di tempat kerja, di rumah, masalah kewangan dan sebagainya. Dalam kebanyakan kes “fear” atau ketakutan menjadi masalahnya. Takut miskin, takut tak ada duit, takut pada boss, takut pada suami dan sebagainya. Namun bila dikaji dengan lebih mendalam saya dapati ada masalah lain lagi di hati. Mari kita perhatikan kes-kes di bawah ini untuk diambil dan dijadikan iktibar.

Kes Contoh

Norlia telah tak dapat tidur selama beberapa bulan kerana rasa takutnya kepada pengawai atasannya yang begitu garang. Dia sentiasa berada dalam keadaan takut, resah dan gelisah setiap kali dipanggil mesyuarat, dipanggil bertemu dengan pegawai tersebut malah sentiasa takut untuk mengangkat panggilan telefon kerana takut pegawainya yang menelefon. Dalam hal ini apa juga punca ketakutan itu mestilah dihapuskan. Ia boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah dan cara untuk menangani punca ketakutan tersebut sama ada dengan berhenti kerja, pindah, menjauhkan diri dari punca ketakutan mahupun mengambil tindakan menakutkan punca tersebut.

Dalam kes kedua Zana pula merupakan seorang yang punya banyak masalah sepanjang kehidupannya semenjak kecil lagi. Masalah-masalah ini umpama air yang terkumpul dalam gelas yang lama kelamaan semakin penuh. Walaupun zahirnya Zana nampak riang tetapi hatinya tak redha dengan dugaan atas dirinya selama ini. Bila air ini penuh dan tak dapat dikeluarkan maka terjadilah kes tak boleh tidur ini. Kes overload ini merupakan satu kes biasa bagi pesakit yang mengalami masalah tak boleh tidur ini. Dalam ertikata lain ia ada kena mengena dengan masalah mental stress yang dihadapi pesakit. 

Bagi saya penyakit hati seperti dendam, tak redha dengan susunan Allah, tak puas hati  dan semuanya ini perlu di atasi dan ditangani. Maknanya ia jadikanlah diri seorang yang pemaaf, lupakan kisah lalu, redha dengan susunan Allah Taala, kalau terpaksa marah pun marahlah biar kena pada tempatnya. Janganlah bawa batu-batu dalam guni di bahu bagi setiap orang yang tidak kita maafkan. Ia akan hanya membebankan diri. Pilihan yang terbaik ialah untuk melepaskannya pergi dan memaafkan.

Untuk pengetahuan anda ada kes tak boleh tidur ini yang makan tahun dan tak sembuh-sembuh dan ada juga yang hanya sekejap bergantung kepada masalah yang mereka hadapi. Masalah ada mereka menghadapi masalah tidur, masalah pergi mereka akan kembali dapat tidur.

Menurut kajian ada tiga fasa yang seseorang itu harus lalui sebelum dapat tidur iaitu ;

·         Fasa Sedar
·         Fasa Separa Sedar
·         Fasa Tak Sedar

Dan dalam perjalanan antara fasa sedar dengan yang tak sedar inilah selalunya gangguan itu berlaku. Mungkin inilah tempat tinggal makhluk ghaib, jin dan setan.

Apapun pada pendapat saya tanpa kita sedari minda separuh sedar kita merasa takut untuk untuk meneruskan perjalanan memasuki fasa tak sedar. Dalam hal yakinkahlah diri yang kita tak takut dan tiada apa yang perlu ditakutkan. Sedarilah makhluk dan kejadian hakikatnya tak boleh memberi mudarat kepada kita tanpa keizinan Allah Taala. Kita makhluk manusia sebenarnya berada dalam tahap kemuliaan yang lebih tinggi dari mahkluk-makhluk yang lainnya dan Allah Taala bekuasa atas semua makhluk, jadi pintalah pertolongan dari Allah Taala sebelum tidur. Pintalah agar nikmat tidur ini dikembalikan Allah kepada anda. Mengetahui semua ini maka tak ada apalah yang perlu kita takutkan.  

Apapun saya tak tahulah sama ada artikel ini dapat membantu mereka-mereka yang menghadapi masalah ini. Saya cuma berharap ia memberikan kefahaman yang cukup baik mengenai masalah ini.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…